3 Jun 2017 - 15:29
Iran Peringati Hari Ulang Tahun Kematian Pengasas Revolusi

Warga Iran sedang bersiap-sedia untuk menyertai upacara memperingati hari kematian bekas pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Khomeini yang juga merupakan pengasas kepada republik tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Warga Iran sedang bersiap-sedia untuk menyertai upacara memperingati hari kematian bekas pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Khomeini yang juga merupakan pengasas kepada republik tersebut.

Orang awam, para pegawai kerajaan, cendekiawan, para pengkaji, para diplomat yang menetap di negara itu dijangka akan menyertai upacara memperingati hari ulang tahun kematian Ayatullah Khomeini di makam beliau yang terletak di selatan Tehran.

Ulang tahun ke-28 itu juga akan dihadiri oleh Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei yang merupakan anak murid Ayatullah Khomeini dan juga pengganti beliau di dalam kepimpinan negara Republik Islam itu. Ayatullah Khamenei dijadualkan akan memberikan ucapan beliau kepada para hadirin yang hadir pada hari tersebut.

Majlis berkabung yang hampir serupa juga akan dianjurkan di seluruh negara dan juga di beberapa buah negara asing dalam rangka menghidupkan kenangan masyarakat kepada kehidupan pemimpin yang dihormati oleh kawan dan lawan itu.

Ayatullah al-Uzhma Syed Ruhullah Mousawi Khomeini yang lebih dikenali sebagai Imam Khomeini dilahirkan pada tahun 1902 di bandar Khomein.

Beliau dikenang kerana keberanian beliau di dalam menentang rejim Pahlavi yang disokong oleh Amerika Syarikat di Iran. Penentangan beliau akhirnya membuahkan hasil melalui kemenangan Revolusi Islam pada tahun 1979.

Beliau kembali ke pangkuan Ilahi pada tahun 1989 ketika berusia 87 tahun. -ABNA24

/315